GUA MUSANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang telah mengeluarkan hampir 30, 000 surat kebenaran kepada orang ramai yang ingin merentas daerah Gua Musang, Kelantan sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tujuh bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kebenaran merentas daerah atau negeri hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai alasan kukuh seperti bekerja, kecemasan atau mendapatkan rawatan perubatan.

Menurutnya, mereka yang ingin merentas daerah juga perlu mengemukakan surat kebenaran itu ketika melalui sekatan jalan raya (SJR).

"Permit yang dikeluarkan oleh IPD Gua Musang dari Januari sehingga Julai adalah sebanyak 29,256 keping kepada mereka yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri atau daerah di Gua Musang ini.

"Kebiasaannya orang ramai akan datang ke IPD Gua Musang, Balai Paloh 2 dan Balai Polis Bertam bagi memohon permit pergerakan keluar daerah untuk hal-hal kecemasan.

"Buat masa ini hal-hal kecemasan ini berkaitan dengan kematian, kemasukan hospital, lawatan kebajikan dan sebagainya yang kita bagi kelulusan," jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau SJR di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Cameron Highlands dekat Kampung Kundur.

Tambah Choon Foo, terdapat dua Sekatan Jalan Raya 24 jam diadakan di daerah Gua Musang yang dipantau oleh polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Katanya, selain pencegahan COVID-19, sekatan jalan raya itu juga dapat mencegah jenayah serta tindakan kepada pengguna yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.